PETALING JAYA – Penyanyi Noh Salleh sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila berkongsi nama penuh anak angkatnya, Musa dalam media sosial.
Noh atau nama penuhnya Mohammad Noh Salleh, 39, memuat naik perkara tersebut selepas dia menerima pertanyaan daripada seorang netizen yang mempersoalkan mengapa nama Musa ber’bin’kan namanya.
“Musa Mohammad Noh bin Abdullah,” kata vokalis kumpulan Hujan itu kepada seorang netizen dalam ruangan komen.
Tindakannya berkongsi nama penuh anak angkatnya dan ibu kandung Musa menerusi sebuah hantaran Instagram itu seterusnya turut dipertikai ramai kerana dikatakan tidak sensitif.
Meskipun diasak kecaman, Noh yang popular menerusi lagu Angin Kencang itu tidak memadam komen tersebut.
Sejak minggu lalu, drama perebutan anak antara Noh dan bekas isterinya, Mizz Nina mencuri tumpuan ramai apabila Musa didakwa diambil oleh Noh tanpa kebenaran.
Nina atau nama penuhnya Shazrina Azman, 44, serta ibu kandung Musa dikenali sebagai Athira turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Noh yang mendedahkan wajah anak kecil itu secara terbuka dalam media sosial.
Dalam masa sama, Nina juga menjelaskan Noh sudah hilang hak penjagaan terhadap Musa selepas mereka bercerai pada Ogos 2022.
Rentetan daripada itu, Noh seterusnya membuat permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial kerana mendedahkan wajah Musa dan menjelaskan tidak mengetahui perjanjian antara Mizz Nina dengan Athira.
Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh mendirikan rumah tangga dengan Nina pada Julai 2011 namun mengumumkan perceraian pada 4 Ogos 2022 lalu. – KOSMO! ONLINE