fbpx

Perhimpunan Istana Negara: 15 keterangan diambil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Siasatan himpunan ‘Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara’ di pintu dua Istana Negara, 23 Januari lalu, akan disiapkan minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata setakat ini pihaknya telah mengambil sejumlah 15 keterangan terdiri daripada tujuh saksi awam dan lapan saksi polis.

Ujarnya, kenyataan seramai enam lagi saksi awam akan diambil hari ini dan esok sebelum kertas siasatan disiapkan selewat-lewatnya pada Rabu.

“Kita dah rakam banyak keterangan saksi, antaranya termasuklah Che’gu Bard (Badrul Hisham Shaharin).

“Bila dah lengkap baru kita akan rujuk pada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 1,000 orang berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara, bagi menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Himpunan tersebut dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu bertanyakan tentang laporan polis yang dibuat Istana Negara terhadap Che’gu Bard, Allaudeen berkata, siasatan tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Yang itu kita serah pada USJT Bukit Aman untuk siasat. Kami hanya siasat kes yang hanya di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI