KOTA KINABALU – Aktiviti sukan luncur udara atau paragliding yang disertai warga Korea bertukar detik cemas apabila pemuda itu tersangkut atas pokok di Bukit Kokol, Manggatal tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Cha Woo Sung yang berusia dalam lingkungan 50-an ditemukan tersangkut atas pokok pada ketinggian 50 meter sebelum diselamatkan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.51 tengah hari.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan sewaktu meluncur sebelum tersangkut pada pokok. Pasukan bomba dari BBP Lintas segera ke lokasi yang terletak satu kilometer dari tempat mangsa berlepas.
“Operasi menurunkan mangsa dibuat menggunakan sistem lowering,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anggota bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk membawa turun mangsa dengan selamat. – KOSMO! ONLINE