fbpx

Mansuh skim pencen langgar Perlembagaan Persekutuan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUAN IBRAHIM TUAN MAN dalam sidang akhbar selepas Konvensyen Pas Pahang di Kompleks Al- Makmur Kerdau, Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Kerajaan Perpaduan didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan jika meneruskan hasrat memansuhkan skim tetap dan berpencen untuk penjawat awam yang baharu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana hak untuk berpencen bagi kakitangan awam adalah termaktub dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pencen 1980 (Akta 227).

Tegasnya, kerajaan sekarang cuba melepaskan tanggungjawab terhadap penjawat awam dengan alasan membabitkan kos yang yang sangat besar iaitu kira-kira RM31 bilion setahun.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pemimpin yang dipilih rakyat perlu mencari dana bagi mengekalkan skim yang memberi keselesaan kepada bakal pesara.

“Berdasarkan laporan gelodak jiwa rakyat di akar umbi mendapati rakyat majoritinya lebih selesa dengan skim tetap dan berpencen demi masa depan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pahang membabitkan 700 perwakilan di Kompleks Al-Makmur Kerdau di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan bahawa kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tuan Ibrahim berkata, memansuhkan skim pencen akan menjejaskan produktiviti kerana melemahkan semangat bekerja penjawat awam yang hanya berstatus kontrak yang tidak ada pencen selepas tempoh perkhidmatan.

Justeru katanya, tenaga muda yang masih produktif mungkin akan cenderung memilih kerja lain termasuk menjadi penghantar makanan dan sebagainya.

“Kerajaan perlu perjelaskan segera isu pemansuhan skim tetap dan berpencen ini kerana sudah ada kenyataan terbaru cadangan itu dalam tempoh tertentu.

“Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan terhadap masalah kenaikan harga barangan yang melonjak, kos haji, kemerosotan nilai ringgit dan menarik lebih ramai pelabur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI