fbpx

Ramai mahu beri Derrick Gan motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar yang dikongsi Derrick kepada Kosmo! ketika menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub baru-baru ini.

MELAKA – Penyokong tegar Harimau Malaya, Derrick Gan yang tular selepas sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perlawanan di Qatar menerima lebih lima tawaran daripada beberapa pihak yang mengagumi semangatnya.

Menurut anak kelahiran Melaka itu, dia bagaimanapun belum sempat untuk menghubungi semula pihak terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran tersebut.

Ujarnya, sehingga kini ruangan mesej Facebook dan Instagram miliknya terus dihujani pelbagai ucapan daripada orang ramai, malah lebih 1,000 pesanan diterima belum dibaca.

“Setakat ini, saya boleh katakan masih ada lima pihak termasuk individu serta syarikat yang menghubungi saya untuk memberikan motosikal, namun saya tiada maklumat lanjut kerana tidak sempat menghubungi semula mereka.

“Sejak kejadian itu tular, mesej Facebook dan Instagram saya penuh, lebih 1,000 mesej semua saya belum sempat baca,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Derrick memberitahu, dia amat menghargai kata-kata positif dan penghargaan diberikan rakyat Malaysia, namun berharap kejadian tular ini dapat segera reda kerana personaliti dirinya yang merupakan seorang introvert.

“Saya sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia tetapi saya sebenarnya sangat pendiam, jadi memang saya nak perkara ini (tular) cepat-cepat berakhir.

“Saya belum dapat membalas semua mesej satu persatu tapi saya akan berbincang dengan sepupu untuk memberikan satu kenyataan rasmi tidak lama lagi,” ujarnya.

Hari ini Kosmo! melaporkan kepulangan Derrick dari Qatar disambut dengan sebuah motosikal baharu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Motosikal jenis skuter model Karisma daripada Modenas itu adalah hadiah daripada syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) dengan kerjasama stesen radio, Era.

Menerusi hantaran di laman Facebook stesen radio terbabit, skuter berkenaan dihadiah terus kepada Derrick sejurus dia tiba di KLIA. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI