PETALING JAYA – Penyanyi Syada Amzah mengingatkan netizen yang selalu mengecam dan mengejinya dengan komen-komen negatif supaya berubah sikap selagi masih hidup.
Pada masa sama, Syada atau nama lengkapnya Nursyuhada Amir Amzah, turut mengingatkan individu yang membencinya, supaya sayang dengan pahala masing-masing daripada terus berbuat dosa dengan mengata tentang dirinya yang bukan-bukan.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Syada dalam Instagram miliknya, penyanyi berusia 26 tahun itu berkongsi luahan perasaannya apabila sering dilemparkan dengan kata-kata jelik oleh netizen.
Kongsi Syada, antara komen yang dia dapat daripada netizen adalah tentang wajahnya yang kelihatan lebih tua berbanding usia sebenar.
“Asal muka dia nampak tua?” kongsinya.
Jawab Syada, dia menganggap soalan sebegitu sebagai satu pujian, malah menyukai apabila wajahnya dianggap kelihatan lebih tua.
“Saya masih anggap itu sebagai satu pujian. Saya sukakannya sebab walaupun say atua, tapi saya masih ada jerawat dan membuatkan saya merasakan itu adalah perkara normal,” jawab Syada.
Bukan itu sahaja, adik kepada penyanyi Shila Amzah itu juga dituduh ‘pembunuh’, kerana dikatakan tidak menjaga kucing-kucingnya dengan elok.
“Saya hantar kucing-kucing saya untuk divaksin. Saya berhabis banyak wang ringgit untuk ubat, penjagaan bulu (grooming) dan makanan.
“Ramai tidak tahu kerana kebanyakan daripada anda yang meninggalkan komen sebegitu, selalunya tidak kisah dengan kehidupan orang lain,” katanya.
Bukan itu sahaja, Syada juga menafikan tuduhan netizen yang pernah mempersoalkan dia hanya memelihara kucing daripada baka yang mahal sahaja.
“100 peratus kucing saya dipungut. Saya jumpa atas pembahagi jalan, dalam lopak air dalam keadaan pinggangnya patah dan jumpa di tengah jalan selepas terjatuh dari enjin kereta orang lain,” jawab Syada.
Tidak cukup dengan itu, perihal fizikal anak bongsu kepada penyanyi veteran, Datuk ND Lala itu juga sering menjadi ‘bahan’ kepada netizen apabila mempersoalkan keadaan mulutnya yang dikatakan senget, selain giginya berkarang.
“Mulut dia herot (senget), gigi berkarang, kenapa tak pakai pendakap gigi (braces)? Ini kurniaan Allah SWT. Alhamdulillah, walaupun tidak sempurna.
“Awak sahaja yang ada masalah dengan ciptaan Tuhan yang awak sembah. Saya bersyukur sebab saya tidak diciptakan sempurna.
“Saya sentiasa ingat asal usul, adab, adat dan agama saya,” jawab Syada.
Dalam pada itu, Syada berkata dia tidak kisah jika netizen mahu terus menerus mengutuk atau mengata tentang dirinya jika perbuatan tersebut boleh memberi keuntungan kepada mereka.
Namun, pelantun lagu Hasrat itu mengingatkan bahawa hidup seseorang itu tidak lama sentiasa beringat tentang pahala.
“Sudah tahun 2024, tolong sayang pahala anda. Hidup kita semua tidak lama mana. Saya pun menuju tua. Hargai setiap masa yang ada.
“Jika mengata tentang saya boleh menjana wang ringgit, teruskan. Tapi itu pun jika anda tidak kisah tentang keberkatan hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE