KUCHING – Pemilik sebuah bistro di sini lesap sebanyak RM370,000 selepas ditipu rakan untuk menyertai pelaburan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata lelaki berusia 40-an itu terpedaya dengan tawaran rakannya untuk menyertai pelaburan kripto dikenali sebagai ‘Sat Coin’ pada Oktober 2021.
Katanya suspek menjanjikan keuntungan tetap sebanyak 10 peratus setiap bulan dan modal akan dipulangkan dalam tempoh masa setahun, dengan menawarkan dua pakej pelaburan iaitu USD30,000 dan USD10,000 kepada mangsa.
“Tertarik dengan tawaran suspek, mangsa kemudian melakukan 16 transaksi pemindahan dalam talian berjumlah RM370,000 melalui aplikasi ‘Binance’ serta tiga akaun bank milik suspek dan sebuah syarikat tidak dikenali pada Oktober 2021 sehingga April 2022.
“Selepas itu suspek memberikan ID akaun laman sesawang ‘Restart’ kepada mangsa untuk membolehkan beliau memantau keuntungan dan modal yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mancha menambah, mangsa hanya menyedari ditipu setelah dia tidak berjaya mengakses laman sesawang ‘Restart’ berkenaan kerana akaunnya telah disekat pada Mei 2022.
Katanya suspek juga menghilangkan diri dan gagal dihubungi selepas itu sebelum mangsa membuat laporan polis pada 26 Januari lalu untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE