PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan rakyat dikenakan cukai yang dikutip secara senyap-senyap oleh kerajaan antara tahun 2014 hingga 2018.
Menurut beliau, elemen kutipan cukai secara senyap-senyap itu berlaku pada harga petrol RON95 yang lebih tinggi berbanding pengiraan harga pasaran ketika itu.
Justeru, Rafizi menyifatkan pihak yang mempersoalkan langkah penyasaran semula subsidi oleh kerajaan sekarang sebagai ‘terlepas kapal’ berhubung perkara berkenaan.
“Semasa polemik turunkan harga RON95 antara 2007 ke 2015, situasinya berbeza. Tanggungan subsidi negara masih rendah berbanding pendapatan keseluruhan kerajaan.
“Jadi isunya adakah lebih baik sejumlah beberapa bilion digunakan untuk rakyat terbanyak dan bukannya untuk projek-projek mega.
“Malah, antara tahun 2014 hingga 2018, ada ketikanya rakyat membayar harga RON95 yang lebih tinggi dari pengiraan harga pasaran. Maknanya, ada elemen cukai yang dikutip secara senyap-senyap,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Rafizi berkata, beliau tidak terkejut serangan terbaru pembangkang terhadap Kerajaan Perpaduan adalah berkenaan penyasaran semula subsidi.
Jelas beliau, keadaan sekarang amat berbeza kerana jumlah tanggungan subsidi melangkaui RM80 bilion setahun dan banyak ketirisan berlaku.
Ujar beliau, golongan kaya mendapat lebih banyak manfaat dan bukan warga Malaysia turut sama mendapat subsidi maka ia perlu distrukturkan semula.
“Jika tidak, perbelanjaan rakyat yang lain akan dikekang dengan keadaan fiskal sebegini.
“Sebab itu, tindakan yang sedang diambil kerajaan sekarang bukannya anti-subsidi. Ia adalah penyasaran semula subsidi supaya ia sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE