fbpx

Hanya 16,000 pengguna di Barat Daya belum terima bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja sambungan dua paip baharu 600mm masih dijalankan bagi menggantikan paip 1,350mm di dadar Sungai Perai.

GEORGE TOWN – Kira-kira 104,000 daripada 120,000 pengguna yang terjejas gangguan bekalan air dalam tempoh 96 jam, sejak petang Selasa lalu dilaporkan mula menerima bekalan itu, malam tadi.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pihaknya sedang berusaha memulihkan bekalan air kepada baki 16,000 pengguna lagi termasuk di penghujung paip agihan dan kawasan tinggi menjelang pukul 6.30 petang, hari ini.

Menurutnya, ia melibatkan 10 kawasan tumpuan utama di daerah Barat Daya iaitu Batu Itam, beberapa kawasan di Jalan Ismail Hashim, Sungai Ara, Flat Lily, Bukit Belah, Batu Maung, Bukit Penara, Pulau Betong, Jalan Pondok Upeh dan Teluk Tempoyak.

“Dua faktor utama yang mempengaruhi pemulihan bekalan air di kawasan berkenaan adalah permintaan air yang tinggi di daerah Barat Daya dan pengepaman air dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke Pulau Pinang dengan berhati-hati bagi mengelak kejadian di Sungai Perai,” katanya, di sini.

Bagaimanapun katanya, pengguna yang telah menerima bekalan air disarankan untuk menyimpan semua air bagi berdepan gangguan bekalan air berjadual, bermula pukul 11.30 malam esok.

Semalam, pihak PBAPP memaklumkan bahawa gangguan bekalan air berjadual berlaku berikutan kerja-kerja pengalihan dan sambungan paip 600 milimeter (mm) yang merentasi Sungai Perai, Butterworth, dekat sini.

Kerja-kerja lencongan paip baharu 600mm itu diprogramkan untuk memberi masa 29 hingga 53 jam kepada pengguna terjejas untuk menyimpan air. Oleh itu, pemulihan bekalan air untuk 84 peratus pengguna dijangka selesai kira-kira pukul 3.30 petang, Selasa manakala bakinya pada 3.30 petang Rabu.

Pada Selasa lalu, satu lagi kejadian paip bocor dikesan berlaku di dasar Sungai Perai sehingga menjejaskan 200,000 pengguna di daerah Barat Daya, beberapa kawasan di Timur Laut dan Seberang Perai.

Untuk rekod, kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai merupakan kali yang ketiga selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan berlaku pada Disember tahun lalu dan 12 Januari lalu.

Ekoran beberapa kejadian paip bocor itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai bagi mengatasi masalah saluran paip bawah air yang bocor di sungai berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI