fbpx

[VIDEO] SK Pasir Raja dilitupi lumpur tebal, kerusi meja hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang memaparkan kesan lumpur dan keadaan kelas di SK Pasir Raja kesan daripada banjir yang melanda daerah Dungun sejak Selasa lalu.

PETALING JAYA – Hampir semua bilik dan kelas di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja, Dungun, Terengganu dipenuhi lumpur kesan daripada banjir yang kembali melanda negeri itu beberapa hari lepas.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi sekolah berkenaan, selain lumpur, kebanyakan kelas juga hilang kerusi dan meja dipercayai dibawa arus banjir.

Malah, beberapa peralatan lain termasuk alat bantuan mengajar dan perkakasan elektrik turut terjejas.

Berdasarkan klip video berdurasi 1 minit 53 saat yang dikongsi salah seorang kakitangan sekolah itu, kelihatan hampir semua kelas, kaki lima dan taman permainan untuk kanak-kanak pra sekolah dilitupi dengan lumpur tebal.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial bersimpati dengan keadaan yang menimpa sekolah dan penduduk sekitar Pasir Raja di Dungun itu.

“Allahuakbar, semoga dipermudahkan urusan cikgu-cikgu dan warga SK Pasir Raja. Diberi kekuatan serta ketabahan. Allah uji tanda sayang,” tulis Suhaida Ariffin.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Zanariah Ngah.

“Semoga Allah permudahkan semua urusan warga SK Pasir Raja, moga ada rezeki yang lebih baik selepas ini. Amin,” doanya.

Terdahulu media melaporkan, sehingga semalam daerah Dungun masih terjejas ekoran banjir gelombang keempat yang bermula Selasa lalu.

Seramai 1,300 mangsa daripada 386 keluarga masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Antara PPS yang masih dibuka di Dungun adalah Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Masjid Jamek Kampung Jongok Batu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI