BARCELONA – Bintang Barcelona, Lionel Messi terus mencipta sejarah baharu di Sepanyol apabila memenangi gelaran penjaring terbanyak saingan La Liga buat kali ketujuh dalam karier profesionalnya.
Messi, 33, meraih Anugerah Pichichi itu selepas menamatkan saingan La Liga musim ini dengan 25 gol, lebih empat jaringan berbanding pencabar terdekatnya yang juga penyerang sensasi Real Madrid, Karim Benzema.
Ia sekali gus menyaksikan pemenang enam Anugerah Ballon d’Or itu berjaya memadam rekod jumlah gelaran penjaring terbanyak La Liga yang sebelum ini dipegang legenda Athletic Bilbao, Telmo Zarra iaitu enam kali.
Kejayaan itu hadir selepas Messi berjaya meledak dua gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Deportivo Alaves di Stadium Mendizorrotza malam kelmarin.
Bagaimanapun, kapten Argentina itu terkilan kerana kejayaannya itu gagal membantu The Catalan bergelar juara La Liga musim ini.
“Gol dan anugerah peribadi adalah perkara kedua. Saya akan lebih gembira kalau kejayaan ini diiringi dengan gelaran liga buat Barcelona,” katanya.
Tiga lagi gol Barcelona dalam perlawanan terakhir liga itu dijaringkan Ansu Fati, Luis Suarez dan Nelson Semedo.
Cubaan Benzema untuk memintas jumlah gol Messi tidak menjadi kenyataan apabila dia gagal mencetak nama sebagai salah seorang penjaring ketika Real seri 2-2 dengan Leganes di Estadio Municipal de Butarque awal pagi semalam.
Barcelona selepas ini akan menumpukan fokus seterusnya menentang Napoli pada 8 Ogos ini dalam aksi timbal balik peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas sekadar seri 1-1 ketika perlawanan pertama, Februari lalu untuk mengubati kekecewaan di pentas domestik. – AGENSI