SEBERANG PERAI – Empat warga emas dilaporkan melecur pada badan selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Alma Estate, Jalan Rozhan, Bukit Mertajam di sini, awal pagi tadi.
Mangsa terbabit terdiri tiga lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia dalam lingkungan 70-an.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.39 pagi dan operasi menyelamat membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam serta dibantu BBP Bandar Perda, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Berapit, Permatang Tinggi, Machang Bubok, New Ferry dan Taman Sukun.
“Sebaik pasukan bomba sampai di lokasi kejadian mendapati rumah jenis kelas B itu didapati terbakar dalam anggaran 80 peratus. Dua mangsa pertama, masing-masing merupakan seorang wanita dan lelaki berusia 70-an yang melecur telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) sebelum ketibaan bomba.
“Mangsa ketiga yang melecur sebanyak 20 peratus pula telah diberi rawatan awal oleh EMRS (Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan) dan dihantar ke hospital manakala mangsa terakhir yang mempunyai masalah kesihatan turut dirawat oleh pasukan yang sama sebelum dibawa ke hospital,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 3.08 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian.
Difahamkan, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO). – KOSMO! ONLINE