CYBERJAYA – Liputan jalur lebar mudah alih di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah, Kelantan disahkah lemah berikutan lokasi kedudukan kampung yang agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pemantauan pihaknya juga mendapati lokasi tersebut terlindung disebabkan oleh keadaan muka bumi yang berbukit.
Sehubungan itu, beberapa langkah sementara termasuk menyediakan menara pemancar mini dan menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5 kilometer (km) dari kampung itu sedang dirancangkan untuk kelulusan pihak berkuasa berkenaan.
Menurutnya, jika kelulusan daripada semua pihak yang berkenaan boleh diperoleh dengan cepat, kualiti liputan dijangka akan dapat diperbaiki menjelang Januari tahun hadapan.
“Oleh itu, sementara menunggu langkah naik taraf diselesaikan, SKMM menggesa pelajar di kawasan berkenaan untuk memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) terdekat di PIK Kusial Bharu.
“PIK ini terletak 3.5 km dari rumah pelajar tersebut dan tidak membahayakan terhadap sebarang risiko kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
SKMM berkata demikian sebagai susulan laporan masalah liputan lemah yang dialami oleh seorang pelajar universiti di Kampung Bukit Petai 7, yang terpaksa belajar di khemah didirikan di atas bukit di belakang rumahnya.
Sementara itu, SKMM berkata, pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan baik untuk pembelajaran secara dalam talian diseru memanfaatkan kemudahan yang terdapat di 873 PIK seluruh negara.
Katanya, setiap PIK yang dibiayai oleh SKMM mempunyai kelengkapan ICT, capaian internet laju dan petugas sepenuh masa yang boleh membantu pengunjung menggunakan perkhidmatan PIK.
“Setiap PIK dilengkapi 20 unit komputer, liputan wifi dan ruang dengan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada pengguna.
“Pengurus PIK juga boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian,” katanya.
Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my.