GUA MUSANG – Sekumpulan Orang asli di Pos Belatim, di sini sanggup meredah jalan balak hampir 10 jam dengan menunggang motosikal bagi mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di bandar Gua Musang, hari ini.
Pemuda orang asli suku kaum Temiar, Along Angah, 33, berkata, dia bertolak dari Pos Belatim, hari ini dengan menunggang motosikal seawal pukul 8 pagi dan tiba di Kuala Betis, kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, dia berpakat bersama beberapa orang rakannya yang lain untuk keluar ke bandar Gua Musang meskipun jalan balak rosak teruk akibat cuaca hujan.
“Saya menerima maklumat bahawa kaunter Padu dibuka sempena Program Jelajah eKasih yang membabitkan penyertaan hampir 30 agensi kerajaan. Jadi, semalam saya rancang datang ke bandar ini sejauh lebih 80 kilometer untuk daftar.
“Hari ini, saya telah bertolak seawal pukul 8 pagi dari Kuala Betis dan berjaya mendaftar sistem Padu. Saya tidak mahu tercicir mendapat bantuan secara terus daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Dewan Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini hari ini.
Seorang lagi Orang Asli, Alias Anjang, 36, berkata, pendaftaran yang dibuka seawal pukul 9 pagi itu sangat mudah dan cepat kerana dibantu oleh petugas Jabatan Perangkaan Negeri.
“Hanya perlu bawa dokumen pengenalan diri dan ahli keluarga lain untuk isi maklumat dalam sistem. Kita harap kaunter Padu akan dibuka di kawasan pedalaman kerana tak semua penduduk ada kenderaan untuk keluar ke sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE