fbpx

Balasan perdaya wanita kaya demi hidup mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
kini Akmal sukar untuk mempunyai wang simpanan kerana terlalu banyak hutang dan pinjaman yang perlu dilangsaikan. – Gambar hiasan

SEMUA orang mengimpikan untuk hidup mewah. Begitupun, rezeki dalam bentuk apa jua adalah pemberian daripada Allah SWT dan kita sebagai hamba-Nya haruslah sentiasa bersyukur dengan rezeki dan ketentuan yang sudah ditetapkan oleh-Nya.

Bagi Akmal (bukan nama sebenar), sejak usia remaja, dia sudah mengimpikan untuk hidup serba mewah dan sering mengeluh kerana bukan dilahirkan dalam keluarga yang kaya.

Kehidupannya yang hanya cukup-cukup makan sejak kecil menjadikan Akmal bertekad untuk hidup serba mewah sebaik sahaja bekerja kelak.

Hakikatnya, kehidupan sebagai seorang lepasan graduan di negara ini tidak memampukannya untuk hidup mewah memandangkan gaji yang diterima tidak sepadan dengan kos sara hidup yang tinggi, lebih-lebih lagi di kawasan bandar, menyebabkan Akmal tersilap langkah.

“Saya kecewa apabila mendapati impian hidup mewah itu tidak mampu dicapai sejurus mula bekerja kerana gaji yang diterima hanyalah cukup-cukup makan.

“Jika saya mahu hidup mewah, maka saya perlu menunggu untuk tempoh beberapa tahun lagi untuk kenaikan gaji,” kongsinya.

Akmal bagaimanapun mengambil jalan pintas untuk mencapai impiannya itu apabila dia memilih untuk membuat pinjaman peribadi.

Wang tersebut kemudiannya digunakan Akmal untuk bercuti di luar negara serta membeli barangan-barangan berjenama yang sudah lama diimpikannya.

Akmal kemudian berkenalan dengan seorang wanita bernama Anis (bukan nama sebenar) yang merupakan anak orang berada.

Akmal kemudiannya menggunakan kekayaan keluarga Anis untuk kesenangannya.

Biarpun hanya berpacaran, Anis yang amat menyayangi Akmal sanggup memberikan lelaki itu wang dalam jumlah yang banyak dan sentiasa membelikan lelaki itu barangan mewah.

“Saya tidaklah begitu cintakan Anis, namun saya tahu bahawa dia akan melakukan apa sahaja untuk saya dan saya mengambil peluang itu untuk hidup senang.

“Hubungan kami terjalin selama lebih dua tahun dan sepanjang tempoh itu, Anis telah membelanjakan puluhan ribu ringgit buat saya,” dedah Akmal.

Semasa sedang menjalin cinta dengan Anis, Akmal sebenarnya turut menjalin cinta dan memperdaya seorang lagi wanita kaya iaitu Diana (bukan nama sebenar).

Diana yang merupakan seorang janda cukup tertarik dengan Akmal yang dikenalinya dalam satu urusan kerja dan kedua-dua mereka terus menjalin hubungan cinta.

Sama seperti Anis, Akmal hanya mahu mempergunakan Diana untuk kesenangannya kerana Diana juga merupakan seorang wanita yang sanggup berbelanja besar untuk Akmal.

“Apabila saya memberitahu Anis dan Diana bahawa saya memerlukan wang, kedua-dua mereka akan terus memasukkan wang ke dalam akaun saya tanpa banyak soal.

“Saya hanya perlu menaburkan janji-janji manis sahaja buat kedua-dua mereka dan saya mampu mendapatkan apa sahaja,” kata Akmal yang semakin seronok memperdaya wanita untuk kepentingan peribadinya.

Tidak cukup dengan Anis dan Diana, Akmal turut berkenalan dengan Sofia (bukan nama sebenar) yang juga wanita yang mempunyai keluarga berada.

Bezanya kali ini, Akmal amat mencintai Sofia dan serius untuk berkahwin dengan wanita itu.

Hubungan yang terjalin kemudiannya mendapat restu keluarga Sofia. Begitu pun, adik perempuan Sofia sebenarnya merupakan kawan kepada Anis dan dari situlah semua helah Akmal akhirnya terbongkar.

“Ternyata dunia ini kecil dan perbuatan saya akhirnya diketahui ramai menyebabkan saya benar-benar buntu.

“Saya amat mencintai Sofia dan mahu mengahwininya, namun dia dan keluarganya amat membenci saya dan memutuskan hubungan kami.

“Hubungan saya bersama Anis dan Diana turut berakhir, menyebabkan mereka cukup marah dan mengugut untuk memberitahu perkara tersebut kepada keluarga saya atau tindakan undang-undang sekiranya saya tidak membayar semula wang mereka,” kata Akmal.

Akmal terpaksa membayar semula wang wanita-wanita yang sudah dipinjamnya itu secara ansuran.

Sudahlah gaji Akmal kecil, dia juga mempunyai hutang pinjaman peribadinya yang banyak dan membebankan.

Kini, Akmal tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menghabiskan sekurang-kurangnya lima tahun untuk membayar semula wang-wang yang sudah dipinjamnya.

Malah, dia juga tidak mampu untuk menyimpan walau hanya RM50 untuk dirinya sendiri, menyebabkan dia langsung tidak mempunyai simpanan.

“Saya akui amat menyesal dengan perbuatan dan sikap tamak yang menyebabkan saya kini dibebani hutang.

“Sofia juga kini sudah pun berkahwin dengan lelaki lain, menyebabkan saya betul-betul sedih,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI