BANGKOK – Seorang lelaki dari Switzerland terpaksa memotong sebahagian lengan kanannya selepas diserang seekor beruang yang enggan melepaskan cengkaman gigi pada anggota badan tersebut, lapor laman berita Thaiger semalam.
Semasa kejadian, pemuda berusia 32 tahun itu menjadi sukarelawan di sebuah yayasan hidupan liar di wilayah utara Chiang Mai.
Lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital di Chiang Mai selepas diserang oleh seekor beruang hitam Asia di daerah Chiang Dao pada Khamis lalu.
Akhbar ThaiRath melaporkan, ketika kejadian, lelaki tersebut memberi makan beruang yang berada di dalam kurungannya.
Dia memasukkan lengan kanannya ke dalam kurungan itu untuk meletakkan makanan tetapi diserang oleh beruang tersebut.
Mangsa cuba mengeluarkan lengannya dari kandang beruang itu, namun haiwan tersebut enggan melepaskannya.
Ia membuatkan mangsa tidak mempunyai pilihan selain memotong sebahagian lengannya serta-merta bagi menyelamatkan nyawanya. – AGENSI