HASRAT beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melangkah ke separuh akhir pertama musim ini tidak tertunai apabila mereka gagal meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung kelmarin, bekas juara Terbuka Perancis itu ditunjukkan jalan keluar apabila akur dengan kekalahan straight-set 16-21, 9-21 kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How tanpa berselindung menganggap pemain lawan yang berada pada ranking kelima dunia itu lebih unggul menerusi kekuatan serta corak permainan pantas yang ditampilkan.
“Apa saya boleh cakap pasangan China ini memiliki kekuatan yang cukup baik. Sejak awal lagi kita cuba untuk bermain dengan tempo yang laju dengan mereka dan ia menyebabkan kita melakukan beberapa kesilapan mudah.
“Banyak benda yang kita rancang tidak menjadi, sekali gus mengganggu rentak permainan Pearly dan Thinaah. Secara keseluruhan, permainan kita baik tetapi kesilapan-kesilapan mudah masih ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Untuk rekod, ini adalah kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada pasangan China itu musim ini selepas turut mengalaminya ketika tewas 20-22, 15-21 pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Tambah Thien How, kemenangan set pertama nyata memberi semangat buat Sheng Shu-Tan Ning apabila langsung tidak memberikan sebarang ruang buat Pearly-Thinaah apabila menguasai sepenuhnya set kedua.
“Kita juga sukar untuk bermain seperti biasa di set kedua memandangkan pasukan lawan sudah mendapatkan keyakinan. Saya akui memang sukar untuk kita matikan permainan mereka,” ujarnya.