PASIR PUTEH – Nenek kepada salah seorang daripada tiga remaja yang lemas semasa mandi di dalam kolam latihan kereta kebal di Kem Batu Lima, Mentakab dekat Pahang, terkejut menerima berita cucunya meninggal dunia semalam.
Rohana Ghazali, 63, berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya, Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11, pada bulan April tahun lalu semasa mangsa pulang bersama keluarga untuk menyambut Aidilfitri ke kampung halaman Kampung Wakaf, di sini.
Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan hari raya tahun lalu merupakan kesempatan kali terakhir untuk bertemu dengan cucunya itu.
“Saya terkejut dan amat sedih selepas menerima perkhabaran bahawa Muhammad Shafiq lemas semasa kejadian itu. Dia seorang cucu yang baik, malah disenangi semua ahli keluarga.
“Sejujurnya, Muhammad Shafiq merupakan cucu kesayangan saya daripada 27 cucu yang lain. Selepas hampir setahun tidak bertemu, hanya jenazahnya sahaja dibawa pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf, di sini hari ini.
Rohana memberitahu, berdasarkan pengetahuannya, arwah tidak pernah mandi sungai sebaliknya gemar bermain bola di padang yang berdekatan dengan rumah.
Katanya, hasrat arwah untuk membuktikan kecemerlangan dalam pelajaran sehingga tamat menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti di Mentakab juga tidak kesampaian.
Ahli keluarga sabar menunggu ketibaan jenazah Muhammad Shafiq yang bertolak dari kem berkenaan sejak pukul 1.20 petang.
Jenazah Muhammad Shafiq dijangka disolatkan di rumah Rohana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf, selepas solat maghrib hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, kegembiraan tiga sahabat yang dipercayai mandi di dalam kolam latihan kereta kebal berakhir dengan tragedi apabila kanak-kanak berkenaan ditemui lemas.
Mangsa yang maut di dalam kolam sedalam 2.1 meter itu melibatkan tiga mangsa iaitu Muhammad Shafiq bersama dua rakannya, Aiman Syafiq Sudirman,11, dan Amar Mukhlis Mohd. Anizan,13. – KOSMO! ONLINE