MUAR – Walaupun reda dengan hukuman dikenakan kepada Mohammed Nazir Lep, 48, namun keluarga mengharapkan campur tangan kerajaan untuk membawanya balik menjalani hukuman di negara ini.
Abangnya, Najib Lep, 60, berkata, selepas terpisah sejak lebih 20 tahun lalu, harapan besar keluarganya dapat melihat tahanan Kem Guantanamo di Cuba itu dibawa balik.
Katanya, seluruh ahli keluarganya melahirkan rasa sedih apabila dimaklumkan Mohammed Nazir terpaksa berhadapan hukuman tambahan lima tahun lagi di kem itu kerana menjangkakan boleh dibenarkan balik ke Malaysia selepas lebih 20 tahun ditahan.
“Mengenai ekstradisi ke Malaysia, saya tidak boleh jawab persoalan itu, tetapi saya dan keluarga sememangnya mengharapkan agar adik dapat jalani hukuman di negara ini. Kita masih berurusan dengan pihak di sana agar adik dapat di bawa pulang.
“Dalam hal ini, semua memainkan peranan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Apa pun kita perlu tunggu kerana ada proses-proses yang perlu dilalui,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media melaporkan, juri tentera di Kem Guantanamo semalam menjatuhkan hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana bersubahat dalam pengeboman pengganas yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002.
Juri lima pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun.
Selepas bersidang selama kira-kira dua jam pada Jumaat, mereka memutuskan hukuman penjara 23 tahun.
Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep boleh dibebaskan menjelang 2029. Kedua-duanya telah ditahan di AS sejak musim panas 2003. – KOSMO! ONLINE