CAMERON HIGHLANDS – Kawasan kebun sayur yang berlaku runtuhan tanah di Kampung Batu 59, Kampung Raja di sini semalam, dikenal pasti beroperasi secara haram sejak setahun lalu.
Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata, penerokaan itu dikesan berlaku di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi-D membabitkan keluasan 4.31 hektar.
Katanya, tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pengusaha kebun sayur berusia 33 tahun itu pada April tahun lalu termasuk sitaan dan denda yang dijalankan di bawah Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.
“Semakan mendapati kawasan kebun sayur tersebut terletak di kawasan hutan simpan di mana penerokaan berkenaan dilakukan tanpa permit sejak setahun lalu.
“Malah, pengusaha kebun sayur itu juga pernah ditangkap sebelum ini pada April lalu kerana menceroboh lokasi sama,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan semakan, lelaki warga tempatan itu pernah mengemukakan permohonan permit penggunaan tanah bagi tujuan pertanian kepada Jabatan Perhutanan.
Bagaimanapun katanya, permohonan itu ditolak selepas pemeriksaan mendapati lokasi tersebut berisiko tinggi ekoran keadaan cerunnya yang melebihi 35 darjah.
Dalam pada itu beliau berkata, kejadian runtuhan tanah yang menimbus dua rumah didiami lima pekerja warga asing itu mendapat perhatian dan keprihatinan tinggi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kerajaan negeri memberi perhatian serius untuk usaha mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa dilakukan secepat mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE