fbpx

Agong titah Sungai Kenau di Pekan Sungai Lembing didalamkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AL-SULTAN ABDULLAH berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS SMK Sungai Lembing di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Sungai Kenau di Pekan Sungai Lembing didalamkan supaya kejadian banjir di kawasan itu tidak berulang.

Baginda menegaskan agar pihak kerajaan negeri dapat mengkaji kaedah terbaik supaya kejadian banjir di Sungai Lembing yang berlaku setiap tahun dapat atasi.

“Tahun demi tahun, bulan demi bulan. Apabila hujan lebat bukan sahaja menunggu musim tengkujuh, tetapi adakala ketika musim lain juga jika hujan lebat, banjir akan berlaku di sini.

“Mungkin sudah sampai masanya kena kaji, tengok keadaan sungai, kaji tengok infrastruktur yang ada di sini. Jalan nak sampai ke sini sudah pun mendap, sungai mungkin dah cetek. Sudah sampai masanya untuk kaji secara lebih serius dan terperinci,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada 202 keluarga terdiri dari 468 isi rumah ketika kunjungan baginda ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, di sini hari ini.

Pekan Sungai Lembing dilanda banjir buat kali ketiga dan terburuk pada 24 Januari lalu dalam tempoh sebulan sejak musim Monsun Timur Laut (MTL) melanda negeri ini.

Baginda bertitah, hampir RM100 juta peruntukan telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan bagi membina tebatan banjir di negeri ini.

Baginda turut berharap agar semua projek tebatan banjir yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan baik dan secara lebih berkesan.

“Walaupun tebatan banjir ini diadakan, tetapi masih lagi terdapat sedikit sebanyak kerosakan. Di sini kena fokus dengan sebaik mungkin.

“Dalam pada itu saya masih merasai Sungai Kenau ini perlu didalamkan. Percayalah, tidak guna ada tebatan tetapi air dapat melimpah sampai ke bandar.

“Rumah di tepi sungai perlu ditingkatkan, buat dua lapis (tingkat). Jangan kita benar (luluskan) pembinaan rumah baharu satu lapis sahaja. Elok dicadangkan buat dua lapis,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI