HULU KELANG – Malaysia menghargai keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendesak agar serangan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin, tetapi ada pendirian yang jelas daripada ICJ mengenai perkembangan di wilayah itu.
“Walaupun menurut teman-teman di Palestin, tidak memenuhi sepenuhnya.
“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke – 60 Zoo Negara hari ini.
Sementara itu Anwar berkata, Malaysia akan terus memantau dan melakukan apa saja seperti yang disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Terdahulu, ICJ semalam memerintahkan Israel untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam operasi ketenteraannya di Gaza. – KOSMO! ONLINE