SHAH ALAM – Tangkapan 39 pegawai Imigresen menerusi Ops Selat baru-baru ini nyata tidak memberikan kesan terhadap amalan rasuah di pintu masuk utama negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terbaharu, seorang lagi pegawai Imigresen ditahan semalam kerana disyaki meminta rasuah sebanyak RM22,000 bagi melepaskan dua warga China yang ditahan atas kesalahan menggunakan cop palsu.
Penahanan suspek berusia 26 tahun itu dilakukan pukul 7.45 malam tadi ketika menerima rasuah di Petronas KLIA.
Menurut sumber, suspek yang bertugas di bahagian operasi KLIA bergerak secara sendirian dan telah biasa melakukan perbuatan itu.
Katanya, tangkapan suspek juga tiada kaitan dengan Ops Selat.
“Penahanan ini adalah lanjutan dari tangkapan awal ke atas seorang ejen berusia 40 tahun di Cheras pukul 12 tengahari semalam atas isu yang sama untuk melepaskan dua warga China yang ditahan Jabatan Imigresen pada 30 November lalu.
“Hasil soalsiasat, wang diterima ialah untuk seorang pegawai imigresen di KLIA,” katanya di sini hari ini.
Sumber memaklumkan modus operandi adalah pegawai Imigresen akan memberikan ejen butir-butir mana-mana warga China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA.
Tambahnya, ejen kemudiannya akan menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta wang rasuah bagi melepaskan diri dari tahanan imigresen.
“Keluarga di China pula akan menghubungi rakan-rakan di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan menyerahkan wang kepada ejen,” katanya.
Sumber itu menegaskan rasuah di KLIA telah menjadi pandemik dan amat membimbangkan dalam isu keselamatan negara.
“Pegawai korup yang bertugas di pintu-pintu masuk memudahkan keluar masuk pendatang asing yang bermasalah ke Malaysia.
“Tidak perlu lagi ikut jalan tikus dan mengharungi lautan bergelora untuk masuk Malaysia sebaliknya menggunakan KLIA dan KLIA 2 untuk masuk dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.-K!ONLINE