KLANG – Seramai 22 gadis dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dicekup selepas sembilan premis pusat hiburan dan KTV sekitar daerah digempur polis, malam tadi.
Kesemua wanita itu melibatkan 14 warga Vietnam diikuti masing-masing dua Indonesia, Thailand dan Kemboja serta seorang Laos dan warga tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, Op Khas Aman 1/2024 (Noda) bermula pukul 11.30 malam itu memberkas seramai 43 individu termasuk 13 tempatan.
“Tangkapan turut melibatkan empat pengurus, lapan penjaga kaunter, seorang ‘kapten’ dan lapan pekerja asing.
“Selain itu, pelbagai barangan dirampas antaranya wang tunai RM3,625, peralatan audio, resit jualan dan minuman keras,” katanya hari ini.
Menurut beliau, polis turut menjalankan pemeriksaan tatu dan orang dikehendaki terhadap pelanggan, bouncer dan pekerja pusat hiburan. – KOSMO! ONLINE