PUTRAJAYA – Penyaluran Bantuan Awal (BAP) bernilai RM150 bagi setiap murid perlu diberi tanpa melakukan sebarang bentuk pemotongan.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, keadaan itu berikutan pihaknya prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima mengenai penyaluran peruntukan BAP kepada murid.
“Pihak sekolah perlu mematuhi semua garis panduan berkaitan pelaksanaan BAP.
“BAP bernilai RM150 bagi setiap murid dilaksanakan bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga,” katanya menerusi kenyataan di sini tadi.
KPM berkata, penyaluran BAP dilakukan melalui sekolah secara kredit ke akaun murid atau secara tunai.
“Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai penyaluran BAP boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM,” katanya. – KOSMO! ONLINE