KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan turun kepada 577 orang susulan cuaca panas dan cerah di kebanyakan kawasan sepanjang hari ini.
Sekreteriat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang ini, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 327 orang daripada 884 orang pada tengah hari tadi.
Menurutnya, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di tiga buah daerah iaitu Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Puteh.
“Tanah Merah menempatkan seramai 279 orang mangsa, Kuala Krai (270) dan Pasir Puteh (28) daripada 162 keluarga.
“Dua buah PPS di Machang yang menempatkan 18 orang mangsa ditutup sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari tadi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya manakala Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai berada pada tahap berjaga-jaga.
Tambahnya, sungai-sungai lain di Kelantan masih mencatatkan bacaan normal. – KOSMO! ONLINE