fbpx

‘Abang Rambut Perang’ bakal terima motosikal baharu Selasa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Alhafiz bakal menyerahkan sebuah motosikal baharu buat Derrick pada Selasa depan.

PETALING JAYA – Kisah ‘Abang Rambut Perang’ atau nama sebenarnya Derrick Gan, 30, tular dalam kalangan orang ramai selepas dia sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perlawanan akhir Kumpulan E antara Malaysia menentang Korea Selatan saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Qatar semalam.

Turut terkesan dengan pengorbanan anak jati Bandar Hilir, Melaka itu, pemilik Ahmad Motorworks, Ahmad Alhafiz Najmi tampil menyuarakan hasrat untuk menyumbang sebuah motosikal jenis Honda RS150 kepada Derrick.

“Saya tak minta dana atau kutipan dari kalian, saya hanya minta sokongan tanda setuju dari kalian. Andai kata post (hantaran) saya ini capai 10,000 perkongsian, saya berikan sebiji Honda RS150 pada abang Derrick Gan yang sanggup menjual Yamaha LC135 5s miliknya.

“Tanda sokongan kita pada beliau. Derrick Gan tidak patut hanya diberi pujian, beliau patut diberi penghargaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, tiga jam kemudian, Ahmad Alhafiz memaklumkan jumlah perkongsian hantarannya sudah mencapai sasaran dan hasil semakan Kosmo! mendapati terbaharu lebih 14,000 perkongsian direkodkan.

“Dah capai 10,000 perkongsian dalam tiga jam. Terima kasih semua, saya dah capai KPI (petunjuk prestasi utama) saya. Yang tak faham kerja saya, saya minta maaf. Saya cuma jalankan tugas,” katanya.

Menurut Ahmad Alhafiz, proses penyerahan motosikal tersebut akan dibuat pada Selasa depan.

“Saya masih lagi di Borneo, Ahad penerbangan balik Semenanjung. Isnin saya sibuk ada kerja, Selasa kita uruskan penghantaran.

“Siap tukar nama, geran halal. Tuan badan nak jual balik motor ini pun tak ada masalah, dah jadi hak milik sendiri, saya tak masuk campur. Terima kasih semua, rezeki tuan badan, semoga kita semua sihat sejahtera. Terima kasih juga buat Ahmad Motorworks, Izan Pa’an,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI