GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menawarkan diri sebagai individu yang pertama dalam kelompok ahli politik untuk dipotong pencen perkhidmatan.
Fahmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan (MPP) berkata, ini kerana pada pendapat beliau, biarlah pemansuhan skim pencen itu selaras dilakukan bukan sahaja melibatkan penjawat awam yang baharu, malah ahli politik baharu dan berkhidmat dalam tempoh sepenggal juga wajar dikenakan tindakan sama.
“Pelbagai pihak telah memberikan komentar berkenaan cadangan pembaharuan yang akan dilakukan oleh kerajaan.
“Oleh itu, saya selaku wakil rakyat ingin menawarkan diri sebagai individu yang pertama dalam kelompok ahli politik untuk dipotong pencen perkhidmatan,” katanya di sini, hari ini.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Fahmi yang merupakan calon muka baharu PKR menang dengan majoriti 8,597 undi, menewaskan Oh Tong Keong (PN-Gerakan).- KOSMO! ONLINE