fbpx

‘Perjalanan ke Qatar tidak mudah, sebab itu menangis ketika gol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar yang dikongsi Derrick kepada Kosmo! ketika menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub baru-baru ini.

PETALING JAYA – “Kepada peminat bola sepak tanah air, jangan berhenti untuk percaya yang kita boleh. Cinta saya pada Malaysia tidak akan mati,”

Demikianlah kata-kata Derrick Gan, 30, ataupun lebih dikenali sebagai ‘Abang Rambut Perang’ yang tular kerana sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Korea Selatan, semalam.

Derrick yang berasal dari Bandar Hilir, Melaka, mula tular apabila reaksinya menangis kegembiraan dirakam menerusi siaran langsung yang dipertontonkan kepada seluruh dunia.

Ujarnya yang bekerja sebagai pengendali mesin dan jentera, dia hanya mengetahui reaksinya dirakam apabila isteri dan keluarga menghantar tangkap layar mukanya sedang menangis.

“Masa itu saya ingat biasa-biasa je, tak ada apa ni. Tapi bila keluar sahaja stadium, penyokong Malaysia yang berada di sini (Qatar) ramai-ramai nak bergambar dengan saya. Mereka kata ‘ini abang yang menangis tadi’.

“Saya jadi terkejutlah, tak sangka boleh popular seperti ini. Dari malam tadi sehingga pagi ni telefon saya berbunyi. Saya pun masih tengah proses apa yang sedang berlaku.

“Sebenarnya semua gol saya menangis sebab tahu perjalanan untuk ke Qatar tidak mudah. Saya pula fanatik peminat bola sepak tanah air, jadi memang sangat-sangat gembira dan terharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Bercerita mengenai perjalanannya ke Qatar, Derrick berkata, dia tekad menjual motosikalnya yang berusia 10 tahun kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlawanan bersejarah itu.

Jelasnya, motosikal jenis Yamaha LC yang dijual pada harga RM4,500 itu digunakan untuk menampung 90 peratus kos perbelanjaan sekali gus merealisasikan impiannya untuk ke Qatar.

Katanya lagi, jika terdapat perlawanan di luar negara pada masa akan datang, dia tetap akan berusaha sedaya-upaya untuk menghadirkan diri sebagai tanda sokongan penuh kepada pasukan Harimau Malaya.

“Sebelum ini saya pernah pergi Hanoi untuk tonton perlawanan Piala AFF Suzuki Cup tahun 2022. Masa tu pulang hampa sebab tak ada gol langsung. Kali ni kawan-kawan memang ramai yang ajak pergi Qatar.

“Kami berharap kalau dapat satu gol pun jadilah. Semalam apabila masuk je gol pertama saya memang terkedu dan menangis. Tak ada perkataan yang boleh ungkap perasaan saya sebab betul-betul sedih dan terharu.

“Pesanan saya, kepada peminat bola sepak tanah air, jangan berhenti percaya. Pemain-pemain Malaysia dah buktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan yang ‘top 20’. Apa yang saya boleh kata, cinta saya pada Malaysia tak akan pernah mati,” luahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI