PETALING JAYA – Seorang lelaki buntu memikirkan nasib rumah tangganya apabila sering dimarahi isteri sewaktu pulang dari kerja.
Katanya, disebabkan kos sara hidup tinggi ketika ini, dia terpaksa membuat kerja sampingan bagi mencari pendapatan lebih sehingga terpaksa balik lewat malam setiap hari.
Namun begitu, isterinya sering merungut mengatakan dia kurang kasih sayang akibat si suami sering pulang lewat ke rumah sehingga tiada masa untuk bersama.
“Saya sendiri tidak tahu nak buat apa, kalau saya turutkan rungutan isteri yang kata dia kurang kasih sayang, ‘alamatnya’ negatif la pendapatan bulanan kami.
“Saya kerja tetap dengan gaji sekitar RM2,500 sahaja, nak tampung lima beranak mana cukup dan saya terpaksa bantu kenalan kerja kedai makan sebelah malam untuk cari duit lebih.
“Tapi, setiap kali balik rumah isteri bising. Kata saya abaikan dia dan anak-anak, balik lewat terus tidor, esok pagi sudah keluar
kerja. Masa dengan dia (isteri) dan anak-anak tak ada. Isteri siap cakap dia kurang kasih sayang,” luahnya dalam hantaran di kumpulan Facebook, Kisah Rumah Tangga hari ini.
Menurut lelaki tersebut, isteri juga seolah-olah menyalahkan dirinya apabila rumah tangga mereka tidak sebahagia dahulu gara-gara hampir setiap hari akan timbul perbalahan atau perselisihan faham antara satu sama lain.
“Minta nasihat para suami, apa tindakan yang terbaik untuk saya lakukan? Saya sayangkan rumah tangga, keluarga saya. Pada masa sama saya perlu bekerja lebih untuk tampung hidup.
“Tapi saya sendiri tak gemar bila isteri merungut seperti itu. Saya juga rasa bersalah,” katanya yang turut meminta pendapat orang ramai.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mencadangkan agar lelaki tersebut duduk berbincang bersama isterinya bagi mencari solusi teerbaik untuk rumah tangga mereka.
“Cari waktu sesuai bincang dengan isteri. Terang dengan dia keperluan kerja dan hidup ketika ini. Insya-Allah dia akan faham. Orang perempuan ini kita kena terang satu-satu sebab mereka jenis tak nak faham sendiri kalau tiada penerangan dari orang lelaki,” pesan Mohd. Syaiqul.
“Itulah tanggungjawab seorang suami yang perlu isteri fahami. Ada masa kita perlu bekorban masa dengan keluarga demi cukupkan keperluan hidup,” komen Syukor.
“Alamak bang, saya pun senasib juga ni. Jad mana nak beri nasihat, bantu saya juga ya,” selit @NoName. – KOSMO! ONLINE