PETALING JAYA – Pengakuan seorang lelaki warga asing yang mendakwa dia menunaikan solat fardu lima waktu melebihi 17 rakaat sehari telah mengundang pertikaian hebat dalam kalangan netizen.
Mengulas lanjut perkara itu, penceramah bebas, Uztaz Mohd. Amirul Kamarudin meminta orang ramai berhenti daripada mengecam dan melemparkan tuduhan terhadap lelaki tersebut.
Katanya, jumlah rakaat yang dilakukan lelaki tersebut adalah benar kerana ia merupakan sebahagian daripada fahaman bagi Mazhab Hanafi.
“Sebenarnya apa yang abang (lelaki asing) ini cakap semuanya betul. Kita yang salah, kita yang jahil. Kita gelak buat apa? Sebab mereka ini adalah bermazhab Hanafi.
“Jadi, dalam Mazhab Hanafi, solat sunat rawatib iaitu qabliyah dan juga solat sunat ba’diyah, mereka mengerjakan rawatib ini seakan-akan wajib. Mereka tidak pernah meninggalkan rawatib, mereka tidak pernah meninggalkan qabliyah dan ba’diyah termasuklah solat sunat witir.
“Sebab itu dia abang (lelaki asing) ini sebut solat subuh empat rakaat, bermaksud subuh dua rakaat digabungkan dengan dua rakaat qabliyah subuh, begitu juga dengan zuhur empat rakaat qabliyah, empat rakaat fardu dan empat lagi ba’diyah, jadilah 12 rakaat,” jelasnya dalam perkongsian di TikTok malam tadi.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mencetuskan sebarang spekulasi dan pertikaian berhubung hal tersebut.
“Kita yang tidak tahu ini pakat gelak, kita kecam, kita salah faham dan sebagainya. Nampaknya kita yang terlebih yakin katakan lelaki ini salah sedangkan dia bercakap atas dasar Mazhab Hanafi,” tegurnya. – KOSMO! ONLINE
@akhiameer Sapa yang salah sebenarnya? #solat #mazhab #hanafi #syafie #maliki #hanbali #pakistan #bangladesh #india #tiktokguru #fyp #fypシ #fypシ゚viral ♬ original sound – MOHD AMIRUL