PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau keberkesanan dan kesan sampingan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech yang dijangka digunakan oleh United Kingdom (UK) mulai minggu depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin tersebut tidak didaftarkan tetapi penggunaannya di UK adalah secara darurat iaitu digunakan sebagai kecemasan.
“Ini negara pertama menggunakan kaedah tersebut jadi, kita akan memerhati dari sudut keberkesanan dan kesan samping menerusi penggunaan vaksin terhadap penduduk di UK.
“Mungkin negara lain juga menggunakan klausa tersebut iaitu vaksin dengan kaedah darurat tetapi di Malaysia, tidak ada pengecualian vaksin secara darurat.
“Ia perlu melalui proses sebagaimana akta ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin selain pendaftaran melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media antarabangsa berhubung UK yang dijangka menggunakan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech yang sudah diluluskan untuk kegunaan umum mulai minggu depan.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, selain keberkesanan dan kesan sampingan, perkara lain perlu dilihat ialah kualiti sesuatu vaksin yang dihasilkan.
“Sekarang ini peringat awal dan masing-masing hanya perlu perhatikan termasuk kesan sampingan itu berlaku atau sebaliknya.
“Jika tiga bulan pertama penggunaan vaksin di UK memberangsangkan dan kurang kesan samping, mungkin itu akan menggalakkan keyakinan kita terhadap vaksin tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya lagi, paling penting ialah perlu menunggu kajian klinikal fasa ketiga terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. -K!ONLINE