fbpx

Kerja apitan belum selesai, 10 penyelam ambil alih pasukan asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelam sedang menjalankan kerja-kerja mengapit semula saluran paip dasar Sungai Perai yang bocor.

GEORGE TOWN – Kerja-kerja mengapit semula saluran paip di dasar Sungai Perai tidak dapat diselesaikan mengikut jadual asal, awal pagi tadi berikutan hujan lebat dan arus bawah air yang deras.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pada pukul 2 pagi tadi, pasukan baharu iaitu melibatkan 10 penyelam mengambil alih daripada pasukan asal.

”Berlaku kelewatan dalam pelan A kerana hujan lebat dan arus bawah air yang deras, jadi penyelam tidak dapat menyelesaikan kerja seperti yang dijadualkan.

“Penyelam gantian sedang berusaha untuk menyelesaikan kerja- kerja pengapit bawah air secepat mungkin,” katanya di sini, hari ini.

Menurut PBAPP, pihaknya telah mengaktifkan pelan bekalan air tambahan sejak pukul 12 tengah hari semalam melibatkan penyaluran air semula kepada sebahagian pengguna.

”PBAPP telah mengaktifkan pelan bekalan tambahan untuk membekalkan air kepada kira- kira 15,000 hingga 20,000 daripada 120,000 pengguna yang terjejas akibat kejadian di Sungai Perai pada 23 Januari lalu.

”Air terawat adalah dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di mana terdapat dua saluran paip 1,350mm yang menyalurkan air dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang.

”PBAPP sedang mengepam lebih banyak air pada tekanan tinggi melalui saluran paip kedua (tiada kerosakan) ke Kompleks Bukit Dumbar di bahagian pulau,” katanya.

Tambahnya, dari Bukit Dumbar, air sedang dipam semula kepada seramai mungkin pengguna terjejas di kawasan dari Gelugor ke selatan di Bayan Lepas namun pada masa ini, PBAPP tidak dapat menyediakan senarai kawasan yang tepat.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI