fbpx

Lagi ahli Parlimen Korea Selatan diserang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG lelaki melihat skrin televisyen memaparkan gambar Bae Hyun-jin di sebuah stesen kereta api di Seoul semalam. – AFP

SEOUL –  Seorang ahli parlimen parti pemerintah di Korea Selatan, Parti Kuasa Rakyat, Bae Hyun-jin diserang di sebatang jalan di daerah Gangnam, Seoul, lapor portal berita Wion News.

Beberapa laporan menyatakan, beliau dipukul di kepala dengan sebuah objek oleh penyerang tidak dikenali semalam. Hyun-jin terpaksa dirawat di hospital kerana mengalami pendarahan dan kecederaan lain.

Penyerangnya pula ditangkap di tempat kejadian, demikian menurut media tempatan.

Insiden berlaku selepas Lee Jae-myung yang merupakan pemimpin parti pembangkang, Parti Demokrat ditikam di leher awal Januari lalu dan terpaksa menjalani pembedahan.

Berbalik kepada serangan semalam, pelaku memberitahu polis bahawa dia berumur 15 tahun. Suspek turut bertanyakan nama Hyun-jin sebelum menyerangnya.

Sebiji batu kecil dilaporkan digunakan dalam serangan tersebut, manakala motif serangan masih tidak jelas.

Setakat ini, tidak banyak yang diketahui tentang suspek.

“Kami tidak dapat menahan rasa sedih kerana kejadian ini. 

“Kami menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas dilakukan terhadap penyerang,” kata jurucakap Parti Kuasa Rakyat, Jung Hee-yong dalam satu kenyataan. 

Menurut laporan terkini, pemimpin sementara parti berkenaan, Han Dong-hoon berkata, Hyun-jin kini beransur sembuh di hospital.

Ahli Parlimen parti pemerintah itu dibawa ke Hospital Universiti Soon Chun Hyang di Seoul, lapor agensi berita  AFP. Dia dipukul di belakang kepalanya.

Pada 2021, statistik rasmi menunjukkan Korea Selatan mengekalkan tahap keselamatan yang baik, dengan kadar pembunuhan rendah iaitu 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk.

 Angka ini berada jauh di bawah purata global iaitu enam kematian akibat pembunuhan bagi setiap 100,000 orang. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI