PETALING JAYA – Seorang pemandu kereta jenis Toyota Camry mendapat kecaman ramai selepas tular video memaparkan kenderaan tersebut menghalang laluan ambulans yang dalam urusan kecemasan.
Meskipun siren kecemasan dibunyikan ketika kejadian, pemandu tersebut dilihat enggan mengubah lorong dan memberi laluan kepada ambulans.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) petang tadi.
Dalam rakaman sama, salah seorang petugas kesihatan yang berada di dalam ambulans juga telah menggunakan pembesar suara meminta pemandu terbabit segera memberikan laluan kepada mereka namun tidak diendah.
Kemudian, pemandu terbabit juga dilihat memandu secara berbahaya sehingga menyukarkan ambulans untuk memotong.
Rakaman yang dimuat naik di laman Istagram @careta_malaysia itu mendapat lebih 40,000 tontonan sejak sejam lalu.
“Apa masalah dia ini? Nanti ada la ahli keluarga yang muncul kata pemandu pekak, sebab itu tak dengar,” perli seorang pengguna.
“Beliau tidak pandai tengok cermin pandang belakang kah?,” soal Syawal.
“Bagi video pada PDRM (Polis Diraja Malaysia), gaya memang sengaja provok (provokasi),” kata Love_speed. – KOSMO! ONLINE.