SEBERANG PERAI – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dijangka membuat percubaan terakhir untuk mengapit bahagian bawah paip antara pukul 8 malam hingga 2 pagi ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap agar Pelan A itu akan berjaya dan pembekalan air dapat dibuat secara berperingkat.
“Untuk Pelan B pula, setakat ini, ia berjalan dengan baik.
“Jika tiada halangan, dijangka (kerja-kerja pembaikan di bawah pelan ini) akan siap dua hari lebih awal (Sabtu) daripada jangkaan asal,” katanya yang juga Pengerusi PBAPP selepas melawat kerja-kerja pembaikan paip di Sungai Perai itu petang ini.
Untuk rekod, pelan tindakan kecemasan (Pelan A) membabitkan kerja-kerja mengapit semula atau ‘re-clamping’ bahagian paip pecah di dasar Sungai Perai.
Mengikut perancangan awal, kerja-kerja tersebut sepatutnya siap petang ini, namun tertangguh akibat hujan lebat.
Sementara itu, Pelan B pula melibatkan kerja-kerja pemasangan dua paip lencongan 600 milimeter (mm) merentasi Sungai Perai di bahagian permukaan sungai.
Ketika ini, satu daripada dua paip berkenaan telah berjaya dipasang berdekatan jambatan Ampang Jajar dan PBAPP menjangkakan kerja-kerja pemasangan kedua-dua paip lencongan akan siap pada Sabtu ini berbanding jangkaan awal iaitu Isnin depan.
Ketika ini, hujan lebat turun di semua daerah di Pulau Pinang sejak pukul 6 petang tadi dan inilah peluang yang ditunggu-tunggu penduduk terjejas untuk menadah air sebagai bekalan.
Sehingga pukul 8 malam tadi, kawasan di daerah Barat Daya masih tiada bekalan air dalam tempoh 50 jam, sejak pukul 5 petang, Selasa lalu. -KOSMO! ONLINE.