fbpx

Kluster Teratai masuk generasi kedua 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kes Covid-19 dalam Kluster Teratai yang dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur kini memasuki generasi kedua dengan 152 individu di dalam komuniti dijangkiti virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif dalam komuniti bagi kluster tersebut adalah di luar kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Untuk warga asing, mereka duduk di asrama atau penginapan yang disediakan oleh majikan tetapi, ada 164 warganegara (pekerja) yang tinggal di rumah masing-masing.

“Jadi ada yang menjangkiti ahli keluarga dan sebagainya malah, kita dapati ia menyebabkan dua generasi jangkitan melibatkan 152 kes positif dalam kalangan warganegara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti saringan peringkat komuniti terutama di Meru, Klang masih dijalankan sekali gus pihaknya berharap dapat membendung penularan jangkitan dalam komuniti.

“Setakat ini komuniti terlibat di Selangor dan Kuala Lumpur kerana pekerja warga negara yang bekerja di kilang pulang ke rumah di kawasan itu dan jangkitan bermula dalam keluarga serta komuniti,” katanya.

Pada 7 November lalu, Kluster Teratai dikesan dan ia melibatkan pekerja kilang Top Glove.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan kakitangannya dari Selangor dan Negeri Sembilan yang ditempatkan di Sabah susulan Covid-19 untuk pulang ke negeri masing-masing.

“Ada permintaan untuk Selangor dan Negeri Sembilan mendapatkan kakitangan mereka yang berkhidmat di Sabah ketika ini memandangkan negeri itu kini menunjukkan trend penurunan kes.

“Justeru, kita mungkin akan pertimbangkan mereka kembali ke negeri masing-masing untuk membantu pengesanan kes dan penilaian risiko,” katanya.

Ujarnya lagi, sehingga kini seramai 59 anggota perubatan dan 57 anggota kesihatan awam di Selangor digerakkan secara dalaman bagi kerja lapangan di negeri tersebut manakala, seramai 64 anggota kesihatan awam juga digerakkan dari negeri lain.

Malah, katanya, kementerian turut menggerakkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Selangor seperti Imam Response & Relief Team (IMARET), Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI