KUALA LUMPUR – Skuad hoki lima sebelah (5s) wanita negara melakar sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Dunia Hoki 5s Wanita yang berlangsung di Muscat, Oman.
Malaysia memastikan tempat ke pusingan kalah mati dengan status sebagai naib juara Kumpulan A selepas mencatat keputusan seri 4-4 ketika menentang Fiji dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sebentar tadi.
Meskipun berkongsi empat mata dengan Fiji yang menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga, namun skuad negara memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir.
Penyerang negara, Nur Zafirah Aziz menyuarakan rasa gembira atas kejayaan tersebut, lebih-lebih lagi ini adalah Piala Dunia pertama untuk acara hoki 5s.
“Kami rasa sangat gembira kerana dapat bermain pada Piala Dunia Hoki 5s yang julung kali diadakan. Selain itu, kami juga berjaya untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya, iaitu suku akhir.
“Bagi aksi suku akhir, kami akan bertemu Afrika Selatan dan ia merupakan satu perlawanan yang sangat sukar. Bagaimanapun, kami akan bersiap sedia untuk jumpa mereka di suku akhir nanti,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Empat gol Malaysia diperoleh menerusi dua jaringan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pada minit ke-15 dan 21 selain masing-masing satu daripada Ellya Syahirah Elias (m-20) serta Qhairunisya Mohd. Zanili (m-23).
Fiji pula meraih empat jaringan menerusi Lora Bukalidi pada minit kedua, Melba Nautu (m-18), Tiara Dutta (m-20) dan Lala Ravatu (m-24).
Menjelang aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok, Malaysia dijangka berdepan cabaran sukar memandangkan Afrika Selatan mara selaku juara Kumpulan B selain memenangi kesemua aksi peringkat kumpulan. – KOSMO! ONLINE