RICCIONE, Itali – Pelumba VR46, Marco Bezzecchi mengakui tujuh podium yang dimenangi termasuk tiga kemenangan di Grand Prix Argentina, Perancis dan India adalah amaran kepada para pesaing mengenai keinginannya untuk memburu kejuaraan dunia musim baharu nanti.
Aksi terbaik dipamerkan sepanjang musim lalu membolehkan dia berada di tangga ketiga keseluruhan berbanding kedudukan ke-14 pada penampilan pertamanya di kelas perdana pada musim 2022.
Pelumba Itali itu meletakan keyakinan mampu mengulangi pencapaian terbaik itu sekali lagi bersama pasukan VR46 apabila diberi sokongan penuh oleh Ducati untuk menggunakan jentera Desmosedici GP23.
“Tahun lalu saya belajar untuk bekerja dengan cara yang terbaik secepat yang mungkin terutama menambah baik gaya tunggangan, cara menguruskan tayar dan juga brek.
“Jadi, segalanya berjalan dengan lancar dan saya gembira dengan apa yang saya capai pada tahun lalu, Tetapi, seperti biasa dalam sukan dan terutamanya dalam MotoGP, anda tidak boleh berhenti berusaha untuk meningkatkan prestasi anda.
“Saya perlu terus bekerja keras. Jadi, saya perlu mendapat perasaan yang baik di atas jentera bermula di Sepang dan seterusnya di Qatar.
“Selepas itu, barulah saya mampu meletakkan sasaran,” katanya sewaktu pengenalan jentera di pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team. – AGENSI