JOHOR BAHRU – Cadangan pelaksanaan skim tidak berpencen perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap wakil rakyat dan menteri sebelum dilaksanakan kepada penjawat awam.
Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, wakil rakyat dan menteri seharusnya menjadi contoh untuk berkorban demi kepentingan negara.
“Jika Kerajaan Persekutuan mencadangkan pemansuhan skim pencen untuk penjawat awam, biarlah wakil rakyat, menteri, YB (Yang Berhormat) mula dulu. Ya, beban kewangan kerajaan kita berat, tapi janganlah sesekali menolak rakyat kita ke depan dulu!,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri itu berkata, keadaan ini akan menyebabkan sektor kesihatan awam akan menjadi semakin teruk sekiranya doktor dan jururawat tidak mahu berkhidmat disebabkan pemansuhan pencen dan tawaran kontrak ini.
Katanya, pada ketika ini, sektor kesihatan negara mengalami kekurangan staf seperti doktor dan jururawat yang serius.
“Isu ini akan semakin teruk sekiranya rakyat tidak mahu berkhidmat dengan pemansuhan pencen dan tawaran kontrak ini. Justeru, kerajaan perlu mengkaji semula cadangan pemansuhan pencen tersebut bagi memastikan perkhidmatan awam kita kompetitif,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE