fbpx

Saya dimanipulasi Noh Salleh – Ibu kandung Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh Salleh

PETALING JAYA – Ibu kandung kepada anak angkat aktivis kemanusiaan, Mizz Nina yang hanya ingin dikenali sebagai Athira (bukan nama sebenar) membuat tiga tuntutan terhadap penyanyi Noh Salleh berhubung kenyataan yang dikeluarkannya, baru-baru ini.

Tiga tuntutan tersebut adalah menarik balik kenyataan yang dikongsikan dalam media sosial, membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam gambar yang mendedahkan wajah anaknya bernama Musa itu dalam tempoh 24 jam.

Athira ketika ditemui Kosmo! Online berkata, vokalis kumpulan Hujan itu juga perlu memohon maaf atas kekeliruan yang ditimbulkan menerusi kenyataanya dalam program Melodi tempoh hari.

Menerusi temu bual yang disiarkan pada 14 Januari lalu, Noh mendakwa Athira telah memberi kebenaran untuknya menjaga Musa dengan rela hati.

Susulan itu, Athira yang ditemui mendakwa dirinya dimanipulasi oleh penyanyi itu.

“Apa yang mahu saya dikongsikan di sini, sebagai ibu kandung kepada Musa, saya sangat kecewa dengan apa yang terjadi. Saya rasa dimanipulasi dan digunakan atas kepentingan dia (Noh).

“Saya juga kecewa kerana dia menggunakan saya dengan menyatakan bahawa Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati.

“Disebabkan itu, saya mahu Noh menarik balik kenyataan yang dibuat dan memohon maaf kerana menggunakan nama saya dalam media. Sebelum ini dia membuat perkongsian menerusi media, jadi saya mahu dia buat permohonan maaf menerusi media juga,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Menurutnya, tindakan Noh itu juga turut dianggap melanggar perjanjian yang sudah dibuat antara mereka sejak daripada awal lagi berkenaan kehidupan dan penjagaan Musa.

“Ingin dijelaskan, saya rasa sangat kecewa sebab dia tunjuk muka Musa dalam media sosial.

“Apa yang buat saya kecewa apabila Noh tidak mempunyai hak sebagai penjaga sepenuhnya tetapi dia melanggar perjanjian untuk tidak berkongsi wajah Musa.

“Jadi, saya mahu Noh menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap saya dan hantaran membabitkan wajah Musa. Saya juga mahukan permohonan maaf secara terbuka daripadanya dalam masa 24 jam atau tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Terdahulu, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 39, membuat kenyataan menerusi program Melodi bahawa tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

“Musa yang kini berusia dua tahun, diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya. Ini bukannya isu perebutan, tetapi mengikut undang-undang dan disertai dengan dokumen.

“Sekarang Musa di bawah jagaan saya dan sangat gembira. Memang saya difitnah teruk,” katanya.

Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga dengan Noh pada pada 2 Julai 2011 namun bercerai Ogos 2022.

Pada Mac 2022, Nina dan Noh mengumumkan kehadiran anak angkat lelaki mereka yang diberi nama Musa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI