PETALING JAYA – ‘Tunjukkanlah kebesaranmu ya Allah, di mana suamiku berada’
Itu luahan isteri kepada peniaga kosmetik, Norhisyam Ismail, 43, yang jasadnya masih belum ditemui selepas terjatuh dari Sungai Kelantan di Jambatan Tendong, Pasir Mas, Kelantan Isnin lalu.
Isteri Norhisyam dalam satu hantaran di TikTok turut berdoa agar jasad suaminya itu segera ditemui.
“Allahuakhbar.. Awak di mana abang, tunjukkanlah kebesaranmu ya Allah dimana suamiku berada.
“Jika di dasar maka kau angkatlah dan kau timbulkanlah jasadnya dan pertemukanlah dengan
kami hambamu ini ya Allah. Kau permudahkanlah segala urusan pencarian suamiKu ya Allah,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut mendoakan agar mangsa segera ditemui dan dapat disemadikan.
“Semoga abang cepat ditemui, ramai yang tunggu. Semoga dipermudahkan segara urusan Ida sekeluarga, berkatilah doa kami semua supaya abang Hisyam cepat ditemui,” kata Rohayu.
“Amin. Cuba juga cari intai-intai dekat sungai setiap kali panaskan enjin bot. Banyakkan bersabar semoga dipermudahkan,” kata Lee.
Terdahulu, pada 15 Januari lalu dalam kejadian pukul 6.48 petang, Norhisyam sempat menghubungi bapa mentuanya untuk datang mengambil keretanya yang rosak sebelum dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditamatkan semalam selepas usaha mencari mangsa selama sembilan hari gagal menemui sebarang petunjuk. – KOSMO! ONLINE