fbpx

125 PATI ditahan di lokasi ‘hot spot’ sekitar Senai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIM Johor menjalankan serbuan di sebuah kilang yang menggajikan pekerja asing tanpa permit sah di Senai, Kulai, semalam.

KULAI – Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan seramai 125 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa serbuan yang dijalankan di sekitar Senai, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua PATI itu ditahan menerusi serbuan Ops Mahir; Ops Selera; Ops Belanja; Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan bermula pukul 11 pagi hingga 3.50 petang.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan dipercayai bekerja tanpa permit sah dan menetap lebih masa di negara ini.

“Menerusi Ops Mahir yang dijalankan di sebuah kilang, seramai 328 warga asing diperiksa sebelum 85 PATI berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan.

“Kemudian menerusi operasi lain yang menyasarkan kawasan tumpuan sekitar, seramai 110 warga asing diperiksa dan 40 daripada mereka yang berusia antara 19 hingga 57 tahun ditahan.

“Kesemua ditahan terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan antaranya Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Baharuddin, selain itu, pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.

“Manakala tangkapan terhadap PATI dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Seorang PATI warga juga ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI