PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa tiada siasatan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
SPRM dalam kenyataan berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar susulan akuan bersumpah Datuk Abdul Murad yang telah dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.
Katanya, siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.
“Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, SPRM berkata, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.
“Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE