fbpx

11 individu ditangkap, 55 mangsa seminar pelaburan kripto diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (kanan) menunjukkan kereta mewah yang dirampas selepas menahan 11 individu yang terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan kripto dalam serbuan di sebuah hotel di Ipoh, Sabtu lalu

IPOH – Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto dengan tertangkapnya 11 individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah hotel di sini, Sabtu lalu.

Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu diberkas dalam satu seminar pelaburan urus niaga kripto (crypto AI Trading Bot) yang dianjurkan sindiket berkenaan.

Tangkapan terhadap kesemua suspek itu berjaya menyelamatkan 55 orang warga tempatan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan mata wang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang ditahan itu terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan serta dua lelaki warga Filipina.

Katanya, siasatan mendapati, suspek yang ditangkap bertindak sebagai penganjur, penaja, penceramah dan ejen mencari pelanggan yang giat mempromosikan skim pelaburan semasa seminar berlangsung.

“Pelbagai pakej urus niaga ditawarkan dalam seminar tersebut dengan nilai 20 USDT (RM94.58) hingga 10,000 USDT (RM47,287.68) selain dijanjikan pulangan pelaburan antara 0.5 peratus sehingga 2.2 peratus setiap hari mengikut kadar modal yang dilaburkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket berkenaan juga dikesan menggunakan sistem pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikatakan dapat membantu pelabur memperoleh keuntungan secara mudah dan cepat.

Katanya, kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada warga tempatan berusia 40 hingga 60 tahun di mana mereka tidak begitu memahami urus niaga kripto selain tidak menyedari platform online yang diwujudkan itu adalah perangkap untuk memperdayakan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI