PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan tidak tahu-menahu mengenai penyebaran notis isytihar bankrap yang didakwa dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam.
Jelas Rozita atau Che Ta, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana konsisten melakukan bayaran setiap bulan melalui ejen yang dilantik.
“Tuduhan merepek, kalau betul mesti saya dapat dahulu notis tersebut. Saya tidak terkejut sebab saya tidak pernah lari daripada membayar cukai.
“Saya membuat pembayaran cukai menerusi ejen hampir RM50,000 secara peribadi setiap sebulan.
“Apapun saya saya serahkan perkara ini kepada ejen yang dilantik,” kata Che Ta.
Tambah Che Ta, 51, dia mengakui sebelum ini dia pernah berdepan dengan masalah berkenaan cukai pada 2014 apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya pernah berdepan isu cukai sampai di tahan di lapangan terbang, tetapi itu lama dahulu sekarang saya memang bayar cukai.
“Saya tidak mahu mahu layan benda ini kerana bukan masalah saya,” kata Che Ta yang ditemui pada majlis pelancaran produk baharu keluarannya iaitu serum Cekang Jelita dibawah jenamanya by RCW di sini hari ini.
Menurut Che Ta, serum berkenaan dikeluarkan selepas menjalani proses penyelidikan R&D selama enam bulan.
Terdahulu, sumber memberitahu kepada Kosmo! tentang notis isytihar bankrap yang didakwa dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam akibat kegagalan menjelaskan cukai LHDN. – KOSMO! ONLINE