PETALING JAYA – Hajat seorang wanita untuk bercuti ke Korea Selatan tidak tercapai apabila gagal melepasi imigresen sebaik sahaja tiba di negara berkenaan baru-baru ini.
Menurut perkongsian wanita itu yang dikenali sebagai Sabreena Qistina, dia bersama tiga orang lagi yang mengambil pakej pelancongan di bawah syarikat sama tidak dibenarkan memasuki negara terbabit dan perlu pulang semula ke Malaysia.
Katanya, keempat-empat mereka tidak dibenarkan masuk ke negara itu kerana tidak menghafal jadual perjalanan dan tidak membawa wang tunai yang mencukupi.
“Kami kena hantar balik tadi. Perempuan empat orang ambil pakej pelancongan dengan syarikat di Korea. Kami semua dalam kumpulan ada 20 orang.
“Alasan dia sebab tak hafal itenarari dan duit Won tak banyak. Pemandu pelancong ikut dari Malaysia tapi tak dapat membantu,” katanya.
Wanita itu turut berkongsi sekeping gambar memaparkan notis penolakan kemasukan yang diterima oleh pihak imigresen.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna terkejut dengan ketegasan pihak imigresen negara terbabit selain turut berasa simpati dengan pengalaman yang dilalui wanita berkenaan.
“Kasihan rakyat Malaysia yang memang nak melancong ke Korea tapi tak lepas nak masuk. Tidak dinafikan antara sebabnya ada segelintir yang masuk ke sana untuk bekerja secara tidak sah. Kenalan saya dan suami dia bulan Disember lalu lepas masuk ke Korea dan ya mereka bekerja secara tidak sah di sana,” kata Ayu.
“Orang Malaysia nak masuk Korea Selatan untuk bercuti tak dapat, orang sana nak ke sini untuk bercuti senang saja. Siap ada yang ‘migrate’, jadi content creator dan kita sanjung mereka,” keluh Amalia.
“Rasanya dulu mudah saja nak masuk Korea Selatan. Ini semua gara-gara ramai ke sana sebab nak bekerja secara tak sah. Sama macam kes di Australia,” kata Amrie. – KOSMO! ONLINE