GURUN – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun memikul tanggungjawab berat menjaga ibunya, Mazliana Jamaluddin, 39, yang terlantar akibat ketumbuhan pada kepala sejak tiga tahun lalu.
Lebih memeritkan Aiman Ikhwan Arman yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik turut menjaga bapanya, Arman Othman, 49, yang menghidap penyakit angin ahmar.
Menurut Aiman, dia akan menyediakan segala keperluan untuk ibu bapanya setiap hari dengan bantuan ibu saudara memandangkan abangnya, Aiman Irfan, 20, merupakan orang kelainan upaya (OKU) sejak kecil.
“Setiap hari selepas menukar lampin ibu, memberikannya susu dan menyediakan keperluan ayah, baru saya akan bertolak ke sekolah.
“Sepanjang tempoh itu, ibu saudara menggalas tanggungjawab menjaga mereka sehingga saya pulang dari sekolah.
“Saya juga kerap tidak hadir ke sekolah terutama ketika ibu dimasukkan ke hospital kerana memerlukan waris untuk menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahya di sini kelmarin.
Bercerita lanjut, Aiman memberitahu, sebelum ini ibunya kerap mengadu sakit kepala.
Pada mulanya, wanita itu menyangka dia migrain, namun keadaan bertambah teruk sejak tiga tahun lalu sehingga diserang sawan dan matanya kabur.
Pihak hospital mengesahkan Mazliana menghidap ketumbuhan di kepala dan perlu menjalani pembedahan segera. Wanita itu menolak dengan alasan tiada siapa yang akan menjaga suami dan anak-anaknya.
Keluarga Aiman kini bergantung dengan wang Pertubuhan Keselamatan Sosial, Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak, zakat serta sumbangan termasuk daripada pihak sekolah.
“Wang itu kami gunakan untuk membayar pinjaman rumah, lampin pakai buang, susu khas dan keperluan lain termasuk kos makan minum,” kataya.
Kesukaran keluarga itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 152125122863 atas nama Mazliana Jamaluddin.