fbpx

K2

Bolehkah gelar munafik kepada orang berciri munafik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENUDUH atau memanggil orang dengan gelaran munafik adalah dilarang sebagai mana yang dapat difahami daripada hadis Rasulullah.

Saya ingin bertanya, jika seseorang itu memiliki ciri-ciri munafik sebagaimana disebutkan dalam hadis Nabi SAW, maka kita boleh menyebutnya sebagai munafik? Mohon pencerahan.

Jawapan: Seseorang Muslim tidak boleh menggelar atau menuduh saudaranya sebagai munafik hanya berdasarkan zahirnya sahaja, sekalipun ia kelihatan sedemikian.

Hal ini kerana, Nabi SAW melarang umatnya menggelarkan seseorang itu sebagai munafik selagi mana ia mengucapkan kalimah tauhid dan beriman kepada Allah SWT.

Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan untuk berkata perkara-perkara yang baik sahaja.

Secara asasnya, munafik terbahagi kepada dua iaitu munafik al-Akbar dan munafik al-Asghar.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan bahawa munafik al-Akbar bermaksud seseorang manusia menzahirkan keimanannya kepada Allah SWT, para Malaikat, kitab-kitab, para Rasul dan hari kiamat, namun dia menyembunyikan keyakinannya.

Inilah jenis nifaq yang wujud pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu, turunnya ayat al-Quran yang mencela orang munafik al-Akbar dan menghukum mereka sebagai kafir, bahkan mereka akan ditempatkan dalam neraka paling bawah.

Mudahnya, munafik al-Akbar ini merupakan munafik yang berkait dengan akidah.

Manakala munafik al-Asghar atau istilah lainnya nifaq al-‘Amal pula bermaksud seseorang menzahirkan sesuatu yang baik atau soleh dan menyembunyikan perkara bertentangan dengan zahir tersebut.

Antara hadis yang popular dalam menggambarkan sikap orang munafik adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhianatinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika orang Islam mempunyai sikap tersebut, maka ia hanya menyerupai sikap orang munafik itu sahaja.

Hal ini kerana, orang yang mempunyai sikap golongan munafik itu hanya dikategorikan sebagai munafik al-Asghar atau nifaq al-‘amal sahaja bukannya munafik al-Akbar iaitu munafik dalam pegangan akidah.

Bahkan, dalam satu hadis yang panjang Nabi SAW pernah melarang para sahabatnya menggelar seseorang sebagai munafik. Lafaz hadis tersebut adalah seperti berikut:“Mereka berkumpul, lalu seseorang bertanya:

“Dimanakah Malik bin Dukhaisyin atau Ibn al-Dukhsyun?” Sebahagian mereka menjawab: “Dia itu seorang munafik. Dia tidak cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu berkata begitu. Bukankah kamu telah melihat dia mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT dengan ikhlas kerana Allah SWT?

Orang itu berkata: Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Dia berkata lagi: Kami mengucapkan sedemikian kerana kami melihat kecenderungan tindakannya yang berbaik-baik dengan orang munafik.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan api neraka kepada orang yang mengucapkan: “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebagai seorang Muslim yang berakhlak sepatutnya berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilakukan terutamanya dalam ucapan berkaitan dengan saudara Islam lain.

Bahkan, dianjurkan untuk tidak memberikan ulasan yang mendatangkan persengketaan antara sesama insan.

Nabi SAW mengajar umatnya agar sentiasa mengucapkan sesuatu yang baik sahaja sepertimana sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, seseorang Muslim tidak boleh menggelar atau menuduh saudaranya sebagai munafik hanya berdasarkan zahirnya sahaja, sekalipun ia kelihatan sedemikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI