DOHA – Pengendali Thailand, Masatada Ishii terpaksa merombak kesebelasan utama selepas tidak dapat menggunakan khidmat kapten, Theerathon Bunmathan pada aksi terakhir Kumpulan F menentang Arab Saudi di Stadium Education City malam ini.
Sebagai rekod, Theerathon telah mempamerkan watak penting membantu skuad Gajah Perang itu tidak dibolosi pada dua perlawanan awal kumpulan, tetapi terpaksa disisihkan kerana sudah mengutip dua kad kuning.
Kata Ishii, perkara tersebut sudah tentu agak mengecewakan rakan-rakan sepasukan kerana mereka menagih kepimpinan kapten berusia 33 tahun itu di atas padang seperti yang dilakukannya dalam dua aksi sebelum ini.
“Kita telah mempamerkan semangat juang tinggi pada dua perlawanan lepas untuk mengelak daripada kekalahan. Namun, pada perlawanan terakhir ini kita tidak dapat menggunakan khidmat Theerathon kerana penggantungan.
“Saya harap siapa sahaja yang diturunkan nanti dapat berikan yang terbaik, sekali gus membantu pasukan mencapai misi besar untuk lolos ke pusingan 16 terbaik kali ini,” kata pengendali dari Jepun itu.
Sementara itu, Theerathon yang telah membuat penampilan antarabangsa ke-100 bersama Thailand berharap rakan-rakannya dapat memberikan sepenuh tenaga untuk mengejutkan Arab Saudi nanti.
“Saya sangat bangga apabila dapat meraih kaps ke-100 bersama skuad kebangsaan. Banyak pengalaman yang saya harungi, tetapi saya percaya skuad kali ini agak istimewa dan kita boleh mencipta kejutan baharu,” katanya. – AGENSI